Ditulis oleh Syafinaz Samsudin, Pegawai Farmasi AA.

Antara Perubatan Dan Puasa

Antara ibadah dan nyawa, antara kesihatan dan agama, antara perubatan dan puasa. Persoalan ini kebiasaannya paling banyak berlegar di fikiran setiap muslim terutamanya apabila menjelang bulan Ramadhan.

Berpuasa bagi umat islam adalah menahan diri dari makan dan minum bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib ke atas setiap individu muslim yang waras akalnya dan telah akil baligh.

Walaubagaimanapun, di sisi agama, keharusan untuk tidak berpuasa dibenarkan selagi ianya tidak memudaratkan kesihatan pesakit seperti perempuan mengandung dan pesakit kronik merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan fatwa Majlis Agama Malaysia.

Semasa berpuasa, memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur tidak membatalkan puasa dengan syarat tidak melampau sehingga tertelan.

Mengambil kira penjelasan ulamak, penggunaan ubat semasa berpuasa dibenarkan kerana ianya bukan proses pemakanan, tidak mengenyangkan dan tidak menghilangkan dahaga.

Kuantiti ubat yang dimasukkan ke dalam badan juga adalah sangat sedikit, hanya cukup untuk melegakan sakit ketika berpuasa.

Berikut adalah jenis ubatan yang dibenarkan pengambilannya semasa berpuasa:

  • Ubat titis mata/ hidung/ telinga (tidak melepasi gegendang telinga)
  • Ubat sublingual seperti nitroglycerin (diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan)
  • Semburan ubat asthma seperti inhaler, nebulizer dan DPI (dry powdered inhaler), penggunaan inhaler di siang hari bagi pesakit asma yang serangannya tidak terkawal
  • Suntikan melalui lapisan kulit, otot, sendi atau pembuluh darah
  • Menderma darah atau mengambil sampel darah untuk tujuan makmal
  • Prosedur gigi seperti cabut gigi, tanam gigi, cuci karang gigi dan sarung gigi (tidak menelan)
  • Ubat sapu, plaster dan balutan
  • Ubat kumur dan sembur tekak (tidak melibatkan proses menelan)
  • Ubat cucuk buasir (suppository), tidak melibatkan kawasan rongga yang dalam
  • Rawatan dialysis bagi pesakit buah pinggang
  • Memasukkan tiub kecil kedalam badan seperti prosedur angiogram
  • Pemeriksaan organ dalaman seperti laparoscopy

Manakala perkara yang membatalkan puasa termasuk adalah termasuk yang berikut:

  • Ubat telan (tablet, kapsul, sirap)
  • Ubat bius menyeluruh (yang melibatkan gas)
  • Ubat pesari (ubat yang masuk kedalam vagina termasuk prosedur cucian
  • Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (urethroscope), ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing
  • Enema, tiub suppository, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan

Suntikan insulin: Sumber gambar dari MIMS Malaysia website (https://specialty.mims.com)

Bagi pesakit diabetic pula, pemeriksaan paras gula perlu dilakukan secara kerap bagi mengelakkan risiko hipoglisemia.

Elakkan melakukan aktiviti yang berat. Dos dan waktu suntikan insulin diubahsuai berdasarkan tahap gula dalam darah.

Bagi pengguna insulin pra campuran atau insulin jangka masa pendek, mereka perlu menyuntik insulin dan menunggu setengah jam sebelum makan.

Disarankan untuk mengambil satu atau dua biji kurma bagi menyegerakan buka puasa, mencucuk insulin dan kemudian menunaikan solat sementara menunggu 30 minit selepas suntikan.

Pesakit sangat disarankan untuk segerakan berbuka dan melambatkan sahur.

Pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gula sehingga mengalami komplikasi yang serius, diabetic ketoacidosis atau hipoglisemia tidak digalakkan untuk berpuasa.

Rujukan:

  1. Risalah isu semasa Panduan berpuasa bagi pesakit, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2013), www.islam.gov.my 
  2. Tahqiq Al-Masail 789: siri 4 polemik inhaler: satu penjelasan tuntas, fatwa mufti wilayah persekutuan (2017), http://muftiwp.gov.my
  3. Buku Panduan bersolat, bersuci dan berpuasa bagi pesakit- mufti Pulau Pinang, penerbitan 185 (2014), http://mufti.penang.gov.my
  4. Puasa dan ubat, Kementrian kesihatan Malaysia (2016), http://www.myhealth.gov.my
  5. Irsyad Al-Fatwa khas ramadhan 78: adakah batal puasa jika mengambil ‘sublingual medication’ (pil/tablet yang diletakkan di bawah lidah), fatwa mufti wilayah persekutuan (2016), http://muftiwp.gov.my
  6. Metro: Pengambilan insulin ketika berpuasa, program perkhidmatan farmasi, kementrian kesihatan Malaysia, (2017) www.pharmacy.gov.my
shares